Budak Main Api

Budak Main Api

Jemput Masuk

Life is Allah's most valuable gifts...Live it and appreciate it...

Thursday, January 1, 2015

First Cerpen Aku (Doa Seorang Daniel)

Doa Seorang Daniel

Dalam ramai-ramai kawan yang aku ada, dialah yang paling istimewa. Seorang insan selain keluarga aku yang amat aku sayangi. Walaupun kami langsung tidak mempunyai apa-apa pertalian darah, ada sesuatu tentangnya yang membuatkanku malah orang lain sangat menyenanginya. Hobinya ialah menceriakan hari-hari orang lain. Tapi tiada siapa yang mengetahui ceritanya yang sebenar…
Daniel. Aku mengenalinya semasa kami baru mengenali apa itu A sampai Z dan 1 hingga dua puluh. Aku ingat lagi betapa comelnya suara yang memberi salam perkenalan kepadaku itu. Putih bersih wajah polos itu. Kami mulai bertukar nama dan alamat. Daniel ramah orangnya. Menurutnya, dia hanya mempunyai dua orang adik-beradik. Dia hanya mempunyai seorang kakak yang bernama Diana dan berusia dua tahun lebih tahun daripadanya.
Sebenarnya, Daniel tinggal tak berapa jauh dari rumahku. Tapi sepanjang aku tinggal di situ, aku tak pernah melihatnya bermain di taman atau padang. Tamsilan aku, mungkin Daniel seorang yang kurang bersosial di luar rumah. Atau mungkin juga ibu bapanya yang tidak membenarkan kerana aku sering melihat pagar rumah itu berkunci setiap kali aku melewati kawasan rumah tersebut. Mustahil aku silap rumah, bukan?
Daniel seorang pelajar yang pintar. Setiap kali peperiksaan, nama Daniel Hadif pasti akan disebut oleh guru besar sebagai pelajar terbaik tingkatan. Aku mulai berangan, bilalah namaku yang bernama Adiwarna ini akan disebut. Semasa peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah, dia berjaya mendapat 5A dan aku hanya berjaya meraih 3A 2B sahaja. Masih terngiang-ngiang di telingaku akan kata-katanya, “ Jangan risau, Adi. Kau boleh buat lebih baik nanti. Anggap saja ini sebagai langkah pertama untuk ke puncak. Kita ada banyak masa lagi. Empayar Melaka pun tak terbina dalam masa sehari.”
Semasa kami di tingkatan satu, aku dan dia dimasukkan dalam kelas yang berlainan. Dia dimasukkan di kelas yang pertama dan aku hanya mampu berpuas hati di kelas kedua. Walau bagaimanapun, hal itu langsung tidak merenggangkan persahabatan kami. Malah, Daniel seolah-olah mengikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Daniel kerap memberikanku tunjuk ajar dalam setiap perkara yang tidak aku fahami. Natijahnya, aku dimasukkan ke dalam kelasnya kerana keputusan peperiksaan pertengahan tahunku menunjukkan peningkatan yang positif. Punyalah aku gembira tidak terkata apabila dapat belajar sekelas dengan sahabatku itu.
Masuk sahaja di tingkatan dua, aku mulai menyedari ada perubahan yang berlaku pada diri Daniel. Dia seolah-olah bukan Daniel yang aku pernah kenali. Dia acapkali tidak hadir ke sekolah dan apabila aku mencarinya di rumah, dia tiada di rumah. Aku mulai nanar dan risau. Keputusan ujian bulanannya juga saban hari semakin merosot. Pernah sekali, aku bertanya kepada Daniel mengapa dia berubah sedemikian rupa, tetapi pantas dia menukar subjek perbualan dan soalanku tetap bertanda soal.
Keputusan peperiksaan akhir tahun tingkatan dua kami sangat mengejutkan aku dan rakan sekelasku. Walaupun pada awalnya, aku gembira dan sangat bersyukur apabila nama Adiwarna Mohamad Alaudin berada di tempat pertama, aku terkejut apabila melihat kedudukan Daniel. Daniel mendapat tempat ke-22 dalam kelas. Sesuatu perubahan negatif yang merisaukan guru malah aku sendiri sebagai sahabatnya. Dia tidak hadir lagi pada hari tersebut. Ke mana Daniel pergi? Kenapa aku merasakan yang aku bagai sudah tiada bagi seorang Daniel Hadif? Kenapa?
Sepanjang cuti akhir tahun yang berlangsung selama enam minggu itu, aku mengambil keputusan untuk mencari Daniel di rumahnya. Kehadiranku disambut oleh kakaknya, Diana. Katanya, Daniel dan ibu bapanya ke Kuala Lumpur. Bila ditanya mengapa, gadis itu hanya mengatakan bahawa itu merupakan urusan keluarga. Terdapat kesedihan dalam sendu suaranya. Selepas daripada itu, aku tidak lagi ke rumahnya kerana aku dihantar pulang ke kampung. Namun, hanya jasadku yang berada di kampung, tetapi tidak rohku. Rohku sibuk berkelana mencari dimanalah gerangan Daniel, sahabatku itu.
Tahun baru bermula dan kini aku di tingkatan tiga. Pada tahun ini jugalah aku akan menduduki satu peperiksaan besar. Namun, ada sesuatu yang tertinggal. Daniel tiada di sisiku. Kehilangan yang maha besar bagi diriku untuk meneruskan pengajian. Aku bertanya kepada guru kelasku tentang apa yang terjadi pada Daniel. Katanya, mulai hari ini, Daniel akan bersekolah dari rumah tapi tidak diberitahu pula kepadaku sebab-musababnya. Hal inilah yang membuatkan rasa inkuiri aku semakin membuak-buak.
Petang itu, kerana didorong oleh rasa ingin tahu yang melampau, aku terus ke rumah besar keluarga Daniel. Bagai sudah lupa maksud sabar, aku membunyikan loceng berkali-kali sebelum ibunya, membuka pagar. Aku melihat wajah wanita itu tersenyum tetapi masih tersorok sedikit kesuraman. Wanita itu mempelawaku masuk ke dalam rumahnya. Sepanjang aku berkawan dengan Daniel, itulah kali pertama aku menjejakkan kakiku ke dalam banglo tersebut. Apa yang menghairankan, rumah itu sangat sunyi. Di mana Daniel?
“Adi…” satu suara menegurku dari belakang. Pantas aku menoleh mencari pemilik suara tersebut.
“Daniel!” Suaraku bernada agak tinggi. Alangkah terkejutnya aku apabila memandang Daniel yang berdiri di hadapanku ini.
Rambutnya botak. Matanya sembab. Bibirnya sangat pucat. Badannya sungguh kurus. Hilang gambaranku tentang rupa Daniel yang biasa aku lihat sebelum ini. Daniel yang selama ini sedap dipandang. Daniel yang selama ini tegap dan tidak cengkung. Daniel yang… ceria.
“Apa yang jadi kat kau, Daniel?” soalku dengan sebak yang berbuku di dada.
“Adi, aku minta maaf sebab tak pernah beritahu kau selama ni. Aku sebenarnya tak nak kau risau pasal aku. Banyak lagi hal yang kau kena risaukan daripada aku. Aku tak nak kau pelajaran kau yang jatuh. Aku tahu kau jenis yang sayangkan kawan tapi aku tak nak bebankan kau. Aku cuma tak nak kau… tertekan.”
Air mataku tumpah tatkala mendengar penjelasan Daniel. Sungguh aku tak menyangka itu yang akan dikatakannya. Betapa dia sanggup menyeksa dirinya sendiri asalkan aku dapat terus meneruskan hidupku dengan biasa. Tidak logik kalau aku mengatakan yang dia berbohong untuk mengambil hatiku kerana setahuku, Daniel bukan seperti itu. Daniel seorang yang jujur.
“Aku ada kanser, Di…”
Sehingga aku pulang ke rumah, ayat itu masih terngiang-ngiang di telingaku. Dadaku bagai nak pecah menahan sebak yang terlampau. Ya Allah, mengapa itu yang Kau berikan kepada manusia sebaik Daniel itu. Apa dosanya, Ya Allah? Mengapa dia yang Kau pilih? Kau berikanlah kepadanya kekuatan untuk menghadapi ujianMu ini, Ya Allah. Selamatkanlah Daniel, Ya Allah.
Di sekolah, hari-hariku tidak lagi seindah biasa. Aku memandang kerusi di sebelahku yang sememangnya kosong dan berharap bahawa Daniel ada di situ. Ada di situ untuk menghiburkan hatiku dan warga kelas yang lain. Namun semua itu hanya harapan yang tinggal harapan. Daniel tetap tiada di situ. Amat sukar untukku menumpukan perhatian sepenuhnya di dalam kelas. Fikiranku asyik menerawang dan berfokuskan kepada sahabatku, Daniel. Entah bagaimanalah keadaannya? Sudah bertambah baikkah keadaannya?
Petang itu, aku pergi ke rumah Daniel. Dia tiada. Pembantu rumahnya memberitahuku bahawa Daniel dimasukkan ke hospital. Tambahnya lagi, keadaan Daniel bertambah tenat. Sabtu berikutnya, aku mengajak ayahku ke hospital di mana Daniel ditempatkan. Daniel dimasukkan ke dalam sebuah wad yang menempatkan pesakit kanser yang lain. Menurut ibunya, Daniel bertambah ceria apabila dia juga dimasukkan ke dalam Kumpulan Sokongan Pesakit Kanser agar dia dapat bersosial dengan pesakit kanser yang lain. Dengan harapan, Daniel mempunyai secebis semangat meneruskan hidup.
Petang Khamis. Aku menerima panggilan dari ibu Daniel. Dengan tangis yang berbaki dia mengatakan, Daniel telah kembali ke Rahmatullah pada jam sebelas pagi tadi. Aku menangis dan meraung semahu-mahunya ketika itu. Sungguh berat ujianMu ini, Ya Allah…
Keesokkan harinya, Daniel dikebumikan. Aku berasa terkilan kerana tidak dapat hadir ke majlis pengebumiannya. Selepas menunaikan Solat Jumaat, aku ke rumah ibu Daniel untuk bertanya di mana pusaranya. Selepas aku tiba di perkuburan, aku melihat tanah yang masih merah. Bunga yang ditabur masih segar. Bagaikan gembira menerima kehadiran insan di dalamnya. Aku membaca Surah Yasin dan mendoakan bahawa roh sahabatku itu dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman.
“Adi, Daniel ada tinggalkan surat ni untuk Adi. Bacalah.”
Setibanya aku di rumah, aku membuka sampul surat itu. Tulisan berwarna hitam itu satu masa dahulu acapkali dipuji guru kerana kekemasannya. Aku membaca bingkisan terakhir daripada sahabatku itu.
Menemui sahabatku Adiwarna,
Lapan tahun dahulu, Allah menemukan kita berdua ketika kita di darjah satu. Allah jadikan kita kawan, kawan karib dan akhirnya sahabat. Adi, kau ingat lagi tak semasa kau asyik menangis ingin pulang ke rumah. Semua orang asyik mentertawakan kau termasuk aku. Maafkan aku kerana ketika itu aku masih tidak tahu apa-apa. Ingatkah kau ketika di darjah lima, kita tawaf satu sekolah untuk mengutip derma bagi seorang pelajar kerana kematian ibu bapanya. Kini, giliranku pula menyusul. Ingat tak berapa kali kita pernah dimarahi guru kerana tidak menyiapkan kerja sekolah? Semua itu kenangan yang tidak akan ulanginya lagi…
Adi, bukan niatku untuk menyembunyikan tentang sakit yang ku alami itu. Tetap macam yang aku katakan, aku tak mahu kau terbeban. Aku tak mahu kau bersedih. Cukuplah kau akan bersedih dengan pemergianku ini.
Adi, sebagai kawan, pastinya aku inginkan yang baik kepada kau walaupun selepas ketiadaanku. Aku harapkan, kau teruskanlah hidup kau selepas ini dengan baik. Sekiranya kau rindukan aku, ingatlah bahawa setiap yang patah akan tumbuh semula. Begitu juga yang hilang, pasti akan berganti. Aku berdoa, agar kau Adiwarna Mohd. Alaudin, akan menjumpai insan yang lebih baik daripadaku sebagai sahabat. Aku berdoa, biarlah Allah tutup kesedihan kau itu dengan sahabat yang baru itu.
                                                Yang benar
                                                                                                Daniel
Sekali lagi, air mataku tumpah. Ya Allah, terima kasih kuucapkan kepadaMu kerana meminjamkan aku seorang hambaMu yang baik sebagai sahabatku. Kau cucurilah rahmat kepadanya, Ya Allah.
Tiga tahun berlalu…
Aku kini sedang melanjutkan pelajaran di sebuah pusat pengajian tinggi. Asramaku itu  menempatkan dua orang pelajar di dalam sebuah bilik. Ketika aku baru sampai, rakan sebilikku masih belum lagi kunjung tiba.
Tidak lama selepas itu, seorang lelaki masuk. Aku tergamam. Rupanya saling tak tumpah seperti arwah Daniel. Dia menghulurkan salam. Selepas dia siap mengemas semua  barangannya, kami berkenalan. Namanya Darwisy dan dia mengambil jurusan yang sama denganku. Apa yang aku perasan ialah, rupanya, suaranya dan perwatakannya, semuanya sama dengan perwatakan Daniel. Tak ubah bagaikan satu dejavu.
Setelah lama kami menjadi rakan sebilik dan sekuliah, perhubungan kami bertambah erat. Suatu hari, aku bercerita kepadanya tentang Daniel. Dia hanya tersenyum seraya membalas.
“Adi, doa seorang sahabat tanpa diketahui oleh sahabatnya itu antara doa yang mustajab. Barangkali juga Allah itu mahu memberikan kau seorang yang lebih baik daripada dia. Ingatlah, sekiranya Allah menarik sesuatu yang istimewa bagi kita, tentu Dia akan memberi sesuatu yang lebih baik…”
Begitu aku tidak menyangka yang Allah menarik Daniel daripadaku dan memberiku seorang Darwisy. Terima kasih, Ya Allah.

Saban hari, aku berdoa agar Daniel mendapat kesejahteraan di sana. Aku juga dapat merasakan yang dia seolah-olah menantikan kedatanganku untuk bersamanya. Doanya agar aku mendapat pengganti dirinya sudah pun dimakbulkan Allah. Terima kasih, Daniel. Kau memang sahabat sejati. Tunggulah aku di pintu syurga.
___________________________________________________________________________

Amacam, sedih tak? First try so memang banyaklah yang nak kena tegur. Anyway, kawan adalah seseorang di masa susah dan senang. Bukanlah seorang yang ada di masa senang saja. Sekiranya dia pernah bersama anda ketika susah, jadi gunakanlah dia juga ketika senang.

p.s.citer ni based on the true story

No comments:

Post a Comment