Patung
Bukan ini inginku, malah bukan juga keinginan orang lain. Siapa sahaja
yang mahu hidupnya bergantung harap kepada sebuah patung? Senang cerita,
jahanam patung itu, maka tamatlah riwayat hidupku. Kalau diceritakan, memang
tiada siapa yang akan percaya kisahku yang melawan hukum biologi ini.
Semasa ibuku mengandungkanku, bapaku telah membuat satu perjanjian
syaitan dengan seorang bomoh demi melariskan perniagaan. Sebagai balasan,
nyawaku haruslah dikongsi bersama dengan sebuah patung kayu yang berbentuk
anak-anakan.
Derita sebenarnya hidupku. Patung itu aku letakkan di dalam sebuah bekas
di dalam bilik aku. Ada kalanya, patung itu akan mereput. Keadaan itu akan
berlaku sekiranya aku sedang sakit. Tapi apabila aku sedang sihat dan gembira,
patung itu akan kekal bersinar seperti baru sahaja diukir. Seperti cerminan.
Aku akan menjadi sangat cemas jika patung itu terjatuh atau ada orang
yang memegangnya. Sebab andainya pecah atau ada mana-mana anggota badan patung
itu yang rosak, maka ianya akan terjadi kepadaku. Kalau patah misalnya, maka
bahagian badan aku yang itu juga akan hilang fungsinya.
Ya, ianya ngeri pada bunyinya. Saat aku menulis kisah ini juga, patung
itu juga sedang memandang ke arahku. Ya, ianya bergerak sendiri. Bila-bila masa
ianya mahu.
Aku sendiri tidak tahu, sama ada patung itu yang akan menjadi Izrailku.
Romantis
Sebab-sebab kenapa aku menyintai Tuan Harith
1)
Kerana dia selalu mengambil berat tentang diriku.
2)
Kerana dia sangat kacak.
3)
Selalu membela diriku sekiranya aku membuat kesalahan
di dalam banglo aku berkhidmat ini.
4)
Kadangkala menyediakan aku makanan sekiranya makananku
diambil yang lain.
5)
Dia pernah memanggilku ‘sayang’ ketika aku lalu di
hadapannya.
6)
Dia tak pernah memarahi aku walaupun aku sering masuk
ke biliknya tanpa kebenaran dan banyak kali menyelerakkan bajunya di atas
lantai.
7)
Pernah menyelamatkan aku yang berada di dapur ketika
kebocoran gas di dapur.
8)
Selalu menyelimutkan aku sekiranya aku tertidur di
ruang tamu setelah berkhidmat seharian.
9)
Dia pernah membawaku ke klinik kerana aku demam panas.
10) Kerana dia telah menjagaku sehabis baik selama
aku berkhidmat di sini.
Tapi aku tahu, sedalam manapun perasaanku kepadanya,
kami tidak akan bersama. Detik-detik romantis yang selalu aku khayalkan itu
tidak pernah akan berlaku. Aku hanyalah kucing peliharaannya, Nia. Tapi aku
berharap agar Tuan Harith dapat menemui insan yang menyayanginya sepenuh hati
dan dia dapat menjaga diriku sehingga hujung nyawaku.
(172 patah perkataan)
__________________________________________________________________
haa, pendek je kan. nama pun cerpen kontot. dua2 ni aq hantar kt FIXI masa drng buat pertandingan. somehow dua2 kalah. LOL. so enjoy, n bgilah pendapat krng...
No comments:
Post a Comment